Seorang ahli perniagaan yang juga anak bekas menteri, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM100,000.
Tertuduh, Muhammad Faisal Hamzah, yang juga anak kepada Ketua Pembangkang merangkap Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mengaku tidak bersalah sejurus mendengar pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Rozina Ayub.
Muhammad Faisal, 40, didakwa menerima wang berkenaan daripada Izmir Abd Hamid yang didakwa sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd (Heitech Padu) melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Syarikat Per My Solutions sebagai perunding pemasaran.
Kesalahan itu dikaitkan dengan Heitech Padu yang dikatakan diberi tender RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk pembekalan, penyewaan, pelaksanaan, latihan, sokongan dan penyelenggaraan infrastruktur keselamatan.
Semakan menunjukkan projek SSM ini ketika Hamzah Zainuddin sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada Julai 2015 hingga Mei 2018.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat dekat Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur pada Mac 2018.
Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai rasuah, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Susulan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh, mahkamah kemudian membenarkan Faisal dibebaskan dengan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin.
Hakim turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, sehingga kes selesai, selain menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes tersebut.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ravinder Singh Dhalliwal.
Pada April tahun lalu, Muhammad Faisal mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan berhubung penyelewengan minyak masak bersubsidi di Mahkamah Sesyen Seremban. Faisal juga gagal membatalkan tuduhan seleweng minyak masak pada Noveber 2023.
Syor Baca- Faisal anak Hamzah Zainuddin didakwa guna dokumen palsu tipu subsidi minyak masak
Syor Baca- Faisal Anak Hamzah Zainuddin gagal batal tuduhan seleweng minyak masak
Pembunuhan karekter politik
Sementara itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pendakwaan terhadap anaknya atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000 adalah perancangan lapuk oleh kerajaan.
“Tak dapat tanduk, telinga dipulas. Pendakwaan terbaharu ke atas anak saya adalah siri perancangan pembunuhan karakter politik yang sebenarnya ditujukan kepada saya sebagai Ketua Pembangkang.
“Ia setelah segala usaha Kerajaan PH-BN pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperalatkan pelbagai agensi kerajaan bagi mencipta naratif, persepsi serta mengada-adakan pertuduhan politik ke atas pemimpin Bersatu termasuk saya gagal,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Umum mengetahui hubungan akrab Azam Baki KP SPRM dengan Hamzah Zainuddin sebelum ini sejak sebagai Menteri KPDNHEP termasuk anaknya dalam perniagaan minyak masak. Bagaimanapun langit tidak selalu cerah macam-macam boleh berlaku.